Ini gambar kami pada bulan Ramadhan 2015. Masa ni Fara Balu (Ibu Tunggal) dan anak-anak Fara menerima bantuan sumbangan anak yatim di Masjid Seremban.
Masa ini hanya Allah SWT saja tahu, betapa ‘survive’ nya Fara menjadi seorang Balu. Emosi tak stabil, pelbagai dugaan lain datang bertimpa-timpa. Fara sedih sangat bila terkenang saat itu.
Hari ini Fara ingin berkongsi kisah bagaimana mengharungi kisah sebenar Fara sendiri menjadi Balu dan berjaya keluar dari kemelut cabaran Ibu Tunggal.
Menjadi Ibu Tunggal ini, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Terlalu banyak ‘dugaan’ dan ‘masalah’ seorang balu hadapi.
Namun Fara tukarkan perkataan ‘dugaan’ dan ‘masalah’ kepada perkataan yang lebih kuat untuk diri Fara. Fara ubah perkataan jadi Cabaran (Challenges).
Ini kerana hanya dengan ubah perkataan saja membuatkan kita merasa diri menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk harungi cabaran ini.
5 Tips Fara hadapi Cabaran Balu (Ibu Tunggal) :
1. Kawal emosi dengan redha
Ya, sememang balu mempunyai cabaran emosi. Ini kerana kehilangan orang yang tersayang merupakan sesuatu yang paling sukar. Hilang seluruh tenaga.
Seumpama jiwa bagai direntap. Memang ternyata emosi membuatkan kita lemah seluruh badan. Jadi, sentiasa mohon pada Allah SWT untuk kuatkan diri.
Setiap hari pujuk hati, bisik pada diri sendiri. Bagitahu diri untuk lepaskan insan yang tersayang dan serahkan sepenuhnya kepada pemilik sebenar Yang Maha Esa.
Terima dengan redha setiap apa yang berlaku. Kawal emosi dengan sabar dan redha. Ungkapkan selalu, “Aku Redha, Ya Allah.. Aku Redha.. Aku Redha..”
In shaa Allah, semakin lama kita akan semakin kuat. Ingat, didalam Surah Al-Insyirah dalam Al Quran ada disebutkan. Di setiap kesulitan ada kemudahan!
2. Susun atur kewangan.
Sebagai balu, majoriti memang mengalami masalah kewangan. Terasa sempit kewangan. Ya, ini kerana semua perbelanjaan kini dibahu ibu semata-mata.
Semasa suami masih hidup, segala susu anak, makan minum, pakaian, barang rumah, bil-bil air api, duit kereta, duit rumah, semua difikir oleh suami.
Kini tidak lagi, semuanya atas bahu isteri. Orang lain akan tumpang bersedih bersimpati dengan balu dalam masa 1 – 3 minggu. Selepas itu, balu sendiri kena fikir cara untuk survive.
Pada masa ini, balu sendiri boleh lihat siapa yang sebenarnya membantu dia. Siapa yang bagi sumbangan duit kepadanya dan anak-anak yatim.
Akhirnya, tinggallah Balu itu sendiri yang perlu bertungkus lumus bekerja dan mencari rezeki. Kewangan yang dapat itu, perlu diurus dengan baik.
Simpan dulu baru belanja. Belanja hanya keperluan. Segala kemahuan perlu ditangguhkan terlebih dahulu. Percayalah, bila dah urus kewangan dengan baik. In Shaa Allah, senang hidup Balu dan anak-anak arwah.
3. Berada dengan kalangan yang positif
Apabila menjadi ibu tunggal, tidak kira balu atau janda (Balu ialah kematian suami, janda ialah bercerai hidup dengan suami). Sememangnya akan jadi buah mulut orang bercakap.
Kadang tu, kita tak salah apa pun. Kita diam sahaja pun orang cakap, sindir, mengumpat dan buli kita. Pada masa ini, ibu tunggal kena mempunyai mind set yang sangat kuat dan super duper positif.
Abaikan kata-kata orang. Kena bagi kata-kata positif kepada diri sendiri seperti “Ahh.. pedulilah mereka nak cakap apa pun, bukan mereka bagi duit makan aku.”
Ya.. balu kena berada dilingkungan rakan-rakan dan saudara mara yang positif. Kita sendiri boleh rasa, sama ada mereka ni positif ke negatif.
Adakah mereka ini menaikkan semangat kita atau menjatuhkan semangat kita. Ingat, balu kena kuat kerana kita kini membina kehidupan baru.
4. Susun atur strategi kehidupan.
Balu atau ibu tunggal perlu ada strategi dalam kehidupan. Strategi membetulkan semula kehidupan. Ini dipanggil “Life Correction”.
Cuba duduk sendiri dan nilai dimana aku perlu repair semula kehidupan aku. Adakah dari segi kewangan? Adakah dari segi kerjaya? Adakah dari segi perhubungan?.
Tulis semua perkara apa yang kita ingin capai. Ini adalah konsep Design Semula kehidupan. Tulis dalam sebuah Drawing Block Putih. Lakarkan semua kisah baru hidup kita dan anak-anak.
Tulis dalam bentuk timeline. Dalam masa setahun ini apa aku nak capai. Berapa simpanan aku? Kerja apa aku nak buat? Cara macam mana nak dapat duit?
Rangka plan 1 tahun, 3 tahun dan 5 tahun. Segalanya tulis dan structure semula. Kisah kita seperti ingin buat bangunan baru, design lakaran bangunan di plan layout sebelum betul-betul menjadi bangunan tersergam indah.
In Shaa Allah, akan nampak satu demi satu hasil. Jangan gopoh nak cepat berjaya dan akhirnya give up. Just biarkan kejayaan datang satu demi satu. Yang penting fokus kepada diri kita sendiri.
5. Be a strong Independent Lady.
Apabila menjadi Balu, Janda sinonim digelar Ibu Tunggal. Semestinya akan automatik rasa lemah dan tak best dalam diri. Sebab status itu melemahkan.
Maka, tukarkan status Ibu Tunggal itu kepada Ibu Berdikari. Lebih hebat kita gelar sendiri “I am an Independent Lady”.
Hanya dengan tukar gelaran kepada diri sendiri. Kita akan rasa kita kuat, kita hebat. Ya lah, macam mana tak hebat. Semua benda kita buat sendiri.
Power tu..Kalah semua wanita yang mempunyai suami. Sebab Ibu Tunggal adalah insan terpilih oleh Allah SWT dan diberi kekuatan untuk dilaluinya.
In shaa Allah, percaya. Kepahitan dalam hidup hanya sekejap sahaja. Allah SWT akan gantikan rezeki dari pelbagai sudut. Terus sabar, redha dan kuat untuk harunginya.
You can do it !
Fara LaiQa
Balu dari 12 Jan 2015 – 11.11.2017